Jadikan Tauhid Sebagai Asas Ilmu & Pemikiran

Dalam kitab suci Al-Quran, Allah S.W.T menegaskan bahawa sebelum Nabi Adam memulakan kehidupan dibumi bersama-sama isterinya, dia telah diajarkan dengan “nama-nama segala benda”. Allah S.W.T. telah mengarahkan Adam a.s. menzahirkan ilmu yang dikurniakan-Nya kepadanya berhubung nama-nama benda, sebagaimana firman-Nya:

“Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”. (Surah al-Baqarah; ayat 31)

Kisah daripada Al-Quran ini membawa maksud bahawa sejarah tamaddun manusia tidak bermula dalam kejahilan dan kegelapan. Ianya telah jelas terbukti menerusi dalil yang hakiki. Bahawa manusia sudah dicukupkan dengan suatu tamadun ilmu dan bukan sepertimana gambaran ‘zaman paleolitik’ kehidupan gua yang didoktrinkan ke dalam minda anak-anak sekolah. Hakikat ini seharusnya mampu menafikan evolusi budaya yang didakwa sebagai suatu proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil masa yang lama. Inilah idea yang dipopularkan oleh August Comte dan lain-lain sarjana kafir yang meresapi ilmu sejarah yang diajarkan di sekolah.

Menurut Islam, manusia yang mentauhidkan Allah muncul lebih awal dipentas sejarah daripada manusia musyrik. Syirik hanya muncul setelah lemahnya pegangan manusia terhadap aqidah tauhid dan mula memikirkan semata-mata kehidupan dunia lantaran kejahilan yang berleluasa.

Ilmu ini asasnya sangat mudah dan semuanya merupakan intisari daripada aqidah tauhid kepada Allah S.W.T. Oleh kerana benarnya ilmu dan keserasiannya dengan alam, semua makhluk, termasuk malaikat di langit dan ikan di air, haiwan yang bertebaran di darat serta burung yang berkicauan di udara sekalipun turut gembira dan mendoakan orang-orang yang mempelajari ilmu.

Dikisahkan daripada Sayyiduna Anas ibn Malik Radiallahu Anhu berkata: Telah bersabda Nabi Muhammad Shollallahu Alaihi Wassalam; “Barangsiapa keluar ia pada menuntut suatu pintu daripada ilmu, nescaya meliputi dengan dia oleh segala Malaikat dan mensholawatkan atasnya oleh segala burung pada hawa (udara) dan segala ikan di dalam air dan ditempati akan dia daripada ALLAH Subhanahu Wa Taala akan tujuh puluh tempat orang yang mati syahid, yakni disediakan akan dia pada ALLAH Subhanahu Wa Taala seumpama tujuh puluh tempat orang yang mati syahid”

Ibrah daripada hadith ini adalah bahawa orang-orang yang berilmu dalam erti demikian dapat menjamin pembangunan yang seimbang, adil dan tidak mengakibatkan sebarang kebinasaan kepada alam, manusia dan makhluk lain.

Realiti zaman sekarang

Diakhir zaman ini, kita diajarkan dengan bermacam-macam cabang ilmu. Ilmu-ilmu ini dipelajari bertahun-tahun semenjak disekolah rendah hingga ke universiti, jika dihalusi maksud tujuannya, adalah semata-mata untuk memenuhi keperluan ‘perut’.  Dan jika diteliti kesemua cabang ilmu ini, seolah-olah ianya dipaksikan kepada benda fizikal dan bersifat material semata-mata. Ianya jauh daripada maksud asal ilmu tersebut sehingga tidak nampak kemana dan apa dasarnya. Dari kecil, orang dididik untuk bekerja, bukan untuk memahami hakikat kehidupan dan kejadian. Sistem pemikiran ini dibangunkan seperti kilang. Ditarbiyah dengan pelbagai habuan dunia dan diasuh supaya mementingkan sijil dan bukan pengetahuan sebenar.

Hakikat sebenarnya mereka diprogramkan untuk melihat dunia keseluruhannya melalui perkataan Kos Sara Hidup, Kadar Pengangguran dan Keluaran Negara Kasar. Sistem ini sebenarnya membentuk pemikiran yang menyesatkan dan berjaya mengheret manusia sangat jauh daripada Allah s.w.t. Inilah yang dipanggil sebagai ilmu sekular. Iaitu ilmu-ilmu yang berjaya menjauhkan kita daripada maksud asalnya. Memisahkan segala-galanya dengan Tauhid Agama.

Pak Hamka pula pernah didatangi oleh seorang pemuda. Dia mengatakan: “Saya tidak percaya Allah itu ada, Pak Hamka!” Kenapa? “Saya tidak pernah melihat Allah dengan mata saya!” Selepas itu Pak Hamka menjawab spontan: “Matamu sendiri belum pernah engkau lihat, bagaimana engkau mengatakan akan melihat Allah”. Begitulah jika ilmu berdasarkan tauhid itu dipelajari, maka manusia akan mula memahami batas-batas dan kemampuan mata itu hingga kemana. Bukan sahaja ia membawa maksud akhlak dalam sains, bahkan ia membawa konotasi yang lebih jelas dapat ditanggapi tanpa melibatkan sebarang teori-teori spekulasi ilmu Barat. Inilah yang disebutkan sebagai ilmu sains yang pasti. Tidak perlu eksperimen dan ujikasi, Cuma perlu percaya sahaja dalil quran dan hadis.

Semangat dan cara berfikir yang kononnya ‘moden’ ini membelakangkan iman dalam ilmu pengetahuan. Ianya juga berusaha untuk membebeskan akal pemikiran daripada kawalan wahyu dan agama. Benda ni bertambah buruk bilamana kita didoktrin dengan pelbagai slogan ‘kebebasan berfikir’ kononnya akan membuatkan kita mampu mencapai kemajuan ilmu yang tidak terbatas.

Sistem pemikiran yang memutuskan hubungan akal dengan iman dan wahyu ini menimbulkan pelbagai kepincangan dalam ilmu-ilmu yang dipelajari. Natijahnya adalah sepertimana lahirnya kilang-kilang senjata yang merosakkan alam, dalam masa yang sama duit dan kempen kesedaran dilabur untuk menentangnya. Hanya buang masa.

Persoalannya juga bukanlah samada kita perlu berfikir atau tidak, tetapi cara kita sepatutnya berfikir. Dalam hal ini, yang dikatakan “seni berfikir Islam” itu bukanlah suatu konsep rekaan baru tetapi ialah suatu kenyataan dari dulu.

Begitu juga persoalan ilmu-ilmu seperti perubatan, fizik, matematik, biologi, sosiologi dan antropologi, bukanlah persoalan samada perlu atau tidak, tetapi, dalam acuan bagaimanakah seharusnya ilmu-ilmu ini dihidupkan dan dikembang majukan?

Oleh itu, dasar dan seluruh cabang ilmu itu adalah datang daripada Allah S.W.T, dan hanya kepadanya sajalah tempat yang paling layak dikembalikan segala perbincangan.

About 2000N
Firdaus Azinun 20 February - Ulitsa Volgina, Moscow

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: